Oleh Hakimi Mohd Zain | MySports
KUALA LUMPUR, 17 Julai (MySports) — Kejohanan Badminton Lightning Cup kembali mencuri perhatian apabila edisi ketiganya dijadual berlangsung dari 3 hingga 6 September di Pavilion Hall, SkyIndoor Themepark, Resorts World Genting, dengan menawarkan hadiah keseluruhan yang melebihi RM100,000.
Selepas kejayaan dua penganjuran terdahulu, Lightning Cup terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara festival badminton antarabangsa terbesar di rantau ini yang menghimpunkan pemain kategori terbuka, amatur dan veteran dari dalam serta luar negara.
Sebanyak 69 kategori akan dipertandingkan merangkumi kategori Terbuka, Amatur, Kumpulan Umur, Gabungan Umur serta kategori popular Mixed Three-on-Three (3P). Penganjur turut memperkenalkan acara Parent and Child serta VIP Invitational, sekali gus menampilkan konsep kejohanan yang lebih inklusif dan mesra keluarga.
Pengerusi penganjur, Datuk Jack Koh, berkata Lightning Cup bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya platform yang menyatukan komuniti badminton daripada pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, kejohanan itu diwujudkan bagi meraikan sukan badminton untuk semua, sama ada pemain yang masih aktif bersaing di peringkat tinggi, bekas pemain profesional mahupun mereka yang kembali menghidupkan semula minat terhadap sukan tersebut.
Bagi memastikan persaingan lebih seimbang, pemain yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak dibenarkan mengambil bahagian. Bagaimanapun, bekas pemain profesional berusia 50 tahun ke atas masih layak beraksi dalam kategori amatur dengan syarat tidak bergandingan sesama bekas pemain profesional dalam acara beregu.
Struktur pertandingan turut memberi peluang kepada pemain berusia seawal pertengahan 30-an sehingga veteran berumur 70 tahun ke atas untuk terus bersaing di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan aspirasi Lightning Cup sebagai kejohanan yang menggalakkan penyertaan sepanjang hayat.
Selain menawarkan aksi kompetitif, penganjuran di Resorts World Genting dijangka terus merancakkan sektor pelancongan sukan Malaysia dengan kehadiran peserta antarabangsa, di samping mengeratkan hubungan komuniti badminton menerusi semangat persahabatan dan kesukanan.
Lightning Cup 2026 dijangka menjadi edisi paling besar dalam sejarah penganjurannya, sekali gus mengangkat lagi kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama bagi kejohanan badminton antarabangsa berteraskan komuniti.