Perintis Futsal Academy Lebarkan Sayap ke Cyberjaya

CYBERJAYA, 23 September 2026

Perintis Futsal Academy memperluaskan usaha pembangunan futsal akar umbi dengan membuka cawangan pertamanya di Cyberjaya menerusi kerjasama strategik bersama Abedeen Club House and Café Sdn. Bhd.

Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung selama tiga tahun, dengan matlamat membentuk platform pembangunan futsal komuniti yang lebih tersusun serta memberi ruang kepada pelajar dan bakat muda tempatan untuk mengembangkan potensi mereka dalam sukan berkenaan.

Pemilik Perintis Futsal Academy, Muhammad Khalis Othman, berkata pembukaan cawangan di Cyberjaya menjadi satu perkembangan penting dalam perjalanan akademi itu untuk memperluaskan program pembangunan akar umbi.

Menurut beliau, sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk sektor pendidikan swasta, membuktikan bahawa pembangunan sukan boleh berjalan seiring dengan usaha membentuk sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Abedeen Club House, Muhammad Husayn Azizi, berkata kerjasama tersebut turut memberi peluang kepada pelajar Abedeen untuk menyeimbangkan pencapaian akademik dengan penglibatan dalam aktiviti sukan.

Abedeen Club House disasarkan untuk berkembang sebagai antara destinasi futsal komuniti utama di Cyberjaya dan Putrajaya, selain menjadi platform untuk mengenal pasti serta menggilap bakat baharu daripada komuniti setempat.

Kerjasama itu juga membuka ruang kepada pelajar Abedeen Academy yang mempunyai potensi dalam futsal untuk menerima latihan lebih tersusun dan seterusnya dibangunkan ke tahap lebih tinggi.

Dengan pembukaan cawangan baharu ini, Perintis Futsal Academy meneruskan komitmennya terhadap pembangunan pemain muda, dengan sasaran melahirkan bakat yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, malah ke pentas yang lebih tinggi.

— MySports Media